Tiada kaum terpinggir bangunkan sektor tani

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memberi jaminan tidak akan meminggirkan mana-mana kaum dalam menjayakan semua program membangunkan sektor tani di wilayah pembangunan ekonomi di seluruh negara. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata faedah menerusi pertanian sememangnya besar dan wajar dikongsi bersama masyarakat berbilang bangsa dan agama atas semangat mengutamakan perpaduan nasional. “Yang penting adalah untuk mengenal pasti kelemahan dan kesesuaian mengikut kepakaran masing-masing dan memastikan pelaksanaan pertanian baru diberi tumpuan utama kerana faedahnya bakal diperoleh bermula daripada penanaman bahan mentah hingga pemasaran produk berasaskan pertanian.
“Transformasi pertanian akan menjadikan bidang itu lebih bermakna kerana ia membabitkan keseluruhan rantaian yang sepatutnya diterokai semua pihak,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Umno di sini, semalam. Wilayah pembangunan ekonomi di Timur, Utara, Selatan, Sabah dan Sarawak yang dilancarkan kerajaan memberi tumpuan kepada aspek pertanian, termasuk penyelidikan dan penghasilan produk berasaskan pertanian ke arah matlamat menjadikan sektor pertanian sebagai penyumbang ketiga ekonomi negara. Walaupun koridor ekonomi dikatakan banyak membantu orang Melayu, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah memberi jaminan melalui semangat perkongsian kuasa, Umno tidak akan membiarkan kerjasama politik dalam Barisan Nasional (BN) terjejas.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, selain orang Melayu, penduduk pelbagai kaum di negara ini harus melihat koridor pembangunan ekonomi sebagai usaha positif terutama untuk membantu generasi muda negara cemerlang menjelang Gagasan 2057. Beliau berkata, aspek pengeluaran, pemasaran dan logistik yang memiliki nilai tambah wajar diberi perhatian semua pihak untuk memastikan pengagihan faedah daripada hasil pertanian dinikmati semua rakyat. “Bagaimanapun, ketika ini kemahiran dalam program pemasaran produk berasaskan pertanian belum dapat didalami sepenuhnya, terutama di kalangan orang Melayu,” katanya. Beliau berkata, perkara asas yang perlu dipertimbangkan setiap kali menghasilkan produk adalah memastikannya bermutu, berdaya saing, pembungkusan yang menarik dan harga berpatutan untuk pasaran tempatan seta luar negara.

%d bloggers like this: