Sumber Ikan Dah Macam Sumber Petroleum Pulak….

Sumber stok ikan negara habis 10 tahun lagi

IPOH 11 Julai – Hasil kajian yang dijalankan oleh beberapa universiti tempatan dan Jabatan Perikanan Malaysia mendapati sumber stok ikan di perairan negara akan habis masa 10 tahun lagi sekiranya langkah-langkah pemulihan tidak diambil segera.

Pengarah Perikanan Perak, Salehan Lamin berkata, bagi menangani masalah itu, pihaknya sedang menjalankan pelbagai tindakan termasuk melancarkan beberapa pelan tindakan segera dalam masa terdekat.

Katanya, program berkenaan diambil selepas hasil kajian dan data-data pendaratan ikan yang diperoleh menunjukkan stok ikan komesial semakin berkurangan.

“Hasil kajian yang dibuat oleh beberapa kakitangan universiti tempatan dan pihak jabatan mendapati stok ikan negara semakin berkurangan.

“Sehubungan itu, usaha perlu diambil bagi menangani segera masalah berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabat nya di sini hari ini.

Salehan memberitahu, masalah berkenaan timbul berikutan bilangan bot yang dilesenkan banyak tetapi sumber stok ikan terhad di sesuatu zon penangkapan ikan.

Sebagai contoh katanya, mungkin stok ikan di sesuatu kawasan hanya sebanyak 10 tan dan sesuai untuk kira-kira dua buah bot nelayan sahaja.

“Bagaimanapun, sumber stok ikan sebanyak itu terpaksa dikongsi oleh lebih dari dua buah bot sekali gus menyebabkan stok ikan cepat habis,” katanya.

Menurut beliau, pihak kerajaan menerusi Jabatan Perikanan akan cuba mengurangkan bilangan bot terutamanya bot pukat tunda khasnya di zon B.

Jelasnya, pemilik bot tunda di kawasan berkenaan dicadangkan menyerahkan bot serta lesen kepada jabatan sebelum kerajaan membayar sejumlah nilai untuk bot dan lesen berkenaan.

Salehan menambah, buat masa ini jabatan tidak memaksa nelayan untuk menyerahkan bot masing-masing tetapi menggalakkan mereka untuk berbuat demikian.

Bagi nelayan yang setuju untuk menyerahkan bot mereka, Jabatan Perikanan akan membantunya melibatkan diri dalam sektor lain seperti akuakultur, pemprosesan hasil perikanan dan pertanian.

“Nelayan terlibat juga akan dibantu dari segi latihan kemahiran sebagai persiapan mereka menceburi bidang baru,” katanya.

Menurutnya, di negeri Perak sahaja terdapat 1,300 bot pukat tunda dan 30 peratus daripada pendaratan ikan disumbangkan oleh bot berkenaan.

Jelasnya, kajian yang dijalankan itu turut mendapati operasi bot pukat tunda sebenarnya merugikan dan tidak mendatangkan pulangan yang tinggi kepada pengusaha.

Bagaimanapun kos kerugian itu ditampung oleh subsidi minyak diesel yang diberikan kerajaan.

(Sumber: Utusan Malaysia-19/09/2007)

%d bloggers like this: