Kalau Harga Ayam Dah Naik…..

Rakyat Malaysia makin banyak makan ikan

SUNGAI PETANI 29 Jun – Kajian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menunjukkan setiap rakyat Malaysia memakan kira-kira 55 kilogram ikan setahun.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shariff Omar berkata, jumlah tersebut didapati meningkat berbanding hanya 30 kilogram bagi setiap orang kira-kira 10 tahun lalu.

Menurut beliau, peningkatan secara mendadak tersebut didorong oleh faktor perolehan bekalan ikan yang tinggi di pasaran.

“Peningkatan ini telah menjadikan industri perikanan atau akuakultur berkembang dengan pesat dan mampu menjana pendapatan tinggi kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melepaskan benih ikan tilapia baka gift di kolam ikan milik syarikat Karya Samudera Sdn. Bhd., di Kampung Bukit Haji Omar, Merbok dekat sini, hari ini.

Menurut Mohd. Shariff, permintaan yang tinggi terhadap bekalan ikan juga mendorong kerajaan memajukan industri akuakultur secara besar-besaran dengan mewujudkan Zon Industri Akuakultur (ZIA).

Beliau berkata, permintaan bagi sumber akuakultur itu meningkat 21.5 peratus atau 662,000 tan pada tahun lalu berbanding 400,000 tan pada tahun 2005.

Dalam pada itu, Mohd. Shariff mencadangkan agar pengusaha sektor akuakultur termasuk ikan air tawar berusaha menambah nilai terhadap keluaran mereka pada masa akan datang.

Katanya, antara bidang yang boleh diterokai pengusaha sektor terbabit ialah ikan salai dan pembuatan fillet.

Sementara itu, Pengarah Urusan Karya Samudera Sdn. Bhd., Dr. Jalil Ahmad memberitahu, pihaknya memulakan industri ternakan ikan air tawar di kawasan Merbok dengan bermodalkan RM120,000 sejak pertengahan tahun lalu.

“Sehingga kini, ia telah menjana pendapatan yang agak lumayan. Sebagai contoh, harga borong ikan talipia adalah sebanyak RM3.80 sekilogram,” katanya.

 (Sumber: Utusan Malaysia 19/9/2007)

%d bloggers like this: